Pelancong laku aksi ‘wheelie’ di Drawbrigde ditahan
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 dan RM15,000 jika sabit kesalahan,” katanya.
KUALA TERENGGANU – Gara-gara menunggang motosikal secara berbahaya di Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbrigde di sini baru-baru ini, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Kual Baru, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan semalam.
Penahanan pada pukul 7.05 malam itu ekoran penularan satu video berdurasi 43 saat memaparkan aksi suspek yang dimuat naik di laman Facebook sejak kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan terhadap video tular itu dibuat berikutan laporan polis yang diterima berikutan penyebaran video tular terbabit.
“Sepasukan anggota JSPT Terengganu dengan bantuan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah berjaya mengesan alamat pemilik motosikal berkenaan.
“Remaja lelaki berusia 19 tahun terbabit dalam soal siasat awal mengaku sebagai individu yang menunggang motosikal Honda EX5 secara ‘wheelie’ (dengan mengangkat tayar hadapan) itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh mengaku melakukan perbuatan tersebut sewaktu mengunjungi bandar raya ini bersama rakan-rakannya pada 12 November lalu.
Tambah beliau, remaja itu juga mengaku melakukan aksi ‘wheelie’ berkenaan menggunakan motosikal milik abangnya di beberapa lokasi di bandar raya ini termasuk Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada hari kejadian.
“Dia telah ditahan bersama motosikal yang turut disita ke IPD Kuala Terengganu di sini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 dan RM15,000 jika sabit kesalahan,” katanya.
@liputan7official