Suami simbah Isteri dan Bayi dengan minyak panas kerana cemburu
"Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila suami berusia 24 tahun mengesyaki isterinya berkawan dengan lelaki lain selepas kerap berbual menggunakan telefon bimbit."
Melaka: Akibat cemburu, seorang lelaki bertindak 'gila' dengan menyimbah minyak panas kepada isteri dan bayi perempuannya berusia empat bulan selepas berlaku pertengkaran antara mereka, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah, ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku jam 5.50 petang di Semabok Dalam, Semabok, dekat sini.
Beliau berkata, kejadian menyebabkan mangsa berusia 21 tahun serta bayinya terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan akibat melecur di beberapa bahagian badan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila suami berusia 24 tahun mengesyaki isterinya berkawan dengan lelaki lain selepas kerap berbual menggunakan telefon bimbit.
"Si suami kemudian meminta penjelasan daripada isterinya yang ketika itu sedang menggoreng ayam di dapur.
"Wanita itu cuba memberi penjelasan, namun tidak diendahkan oleh suami.
"Pada masa sama bayi mereka menangis dan mangsa mendukung anaknya, sebelum suspek yang dipercayai tidak berpuas hati menyimbah minyak panas dari kuali di dapur ke arah mangsa dan anak bongsunya itu," katanya.
Katanya, kejadian turut disedari ibu mentua mangsa yang membawa menantu dan cucunya mendapatkan rawatan selepas dengar tangisan kuat bayi itu.
Lim berkata, mangsa yang juga suri rumah mengalami kesan lecur di paha kiri manakala bayinya turut melecur pada belakang pinggang, punggung serta keseluruhan kaki sebelah kiri dan kanan.
"Suspek bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Borong Batu Berendam dan pasangan itu mempunyai tiga lagi anak berusia antara dua hingga enam tahun.
"Dia ditahan selepas polis menerima maklumat kejadian dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.
Terdahulu kejadian berkenaan dikongsi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Facebooknya semalam.
Dalam catatannya itu, beliau melahirkan rasa kecewa kerana tindakan di luar batasan si suami menyebabkan anaknya menjadi mangsa.
@liputan7official