Ah long ugut bakar rumah warga emas, sindir ketua polis


Ah long ugut bakar rumah warga emas, sindir ketua polis

"Dia juga menyindir supaya saya meminta ketua polis memantau rumah tersebut selama 24 jam. Malah dia juga ugut mahu membakar rumah selain kawasan perumahan itu sekiranya peminjam wang tidak melangsaikan hutang," katanya.


JOHOR BAHRU - Seorang warga emas bimbang keselamatan penyewa rumahnya di Taman Muhibbah, Ulu Tiram di sini selepas ah long mengugut akan membakar kediaman itu jika tidak melangsaikan hutang.


S Ramaiah, 84, berkata, ah long berkenaan juga angkuh dan tidak takut apabila diberitahu dia akan melaporkan ugutan itu kepada pihak polis.


Dia dan penyewa tersebut tidak pernah berurusan atau meminjam wang daripada ceti haram itu tetapi terkejut apabila pekarangan rumah sewa serta motosikal disimbah cat merah pada jam 8 pagi, 19 Mac lalu.


"Saya menghubungi nombor telefon dipercayai milik seorang ahli sindiket ceti haram bagi mendapatkan penjelasan. Mengikut nota ditinggal, mereka memberi amaran kepada seorang lelaki yang disertakan nama serta dicatat alamat jiran.


"Alamat jiran itu kini tidak berpenghuni dan saya juga tidak kenal nama lelaki yang dinyatakan," katanya ketika ditemui pada Khamis.


Menurutnya, apabila dia menghubungi ah long berkenaan, seorang lelaki memakinya dengan perkataan lucah malah mencabarnya untuk membuat laporan polis.


"Dia juga menyindir supaya saya meminta ketua polis memantau rumah tersebut selama 24 jam.


"Malah dia juga ugut mahu membakar rumah selain kawasan perumahan itu sekiranya peminjam wang tidak melangsaikan hutang," katanya.


Bimbang dengan keselamatan penyewa rumahnya, dia membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram pada Khamis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, penyewa rumah warga emas itu iaitu seorang lelaki memaklumkan pada 19 Mac lalu rumah sewanya disimbah cat warna merah dan turut terima satu notis ugutan.


Beliau berkata, mangsa memaklumkan alamat dalam notis ugutan terbabit adalah alamat rumah jiran pengadu selain menafikan terbabit dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.


"Kes masih disiasat di bawah seksyen 427/507 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara selama tempoh tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE