Bekas tentera rogol anak sendiri dipenjara 18 tahun, 34 sebatan


Bekas tentera rogol anak sendiri dipenjara 18 tahun, 34 sebatan

"Dalam rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan, selain berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang."


SIBU: Seorang bekas tentera dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan dikenakan 34 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan serangan seksual terhadap anak perempuannya sendiri.


Tertuduh, 40, menghadapi tiga pertuduhan merogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.


Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.


Dia menghadapi pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 16 tahun di sebuah rumah panjang di Batu 14, Jalan Oya pada 11 Mac, 26 Mac dan 1 April lalu, kira-kira jam 3 pagi.


Bagi setiap pertuduhan, dia dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan.


Dia juga menghadapi empat pertuduhan melakukan serangan seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh disebat.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Mac lalu jam 3 pagi dan 10 pagi, 26 Mac lalu jam 3 pagi dan 1 April lalu jam 3 pagi di rumah panjang yang sama.


Bagi setiap kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.


Hakim Marutin Pagan memerintahkan supaya semua hukuman berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 21 April lalu.


Mengikut fakta kes, pada 12 April kira-kira jam 1.20 tengah hari, mangsa memberitahu gurunya (pengadu) di sekolah bahawa dia telah dirogol bapanya di rumah mereka.


Pengadu kemudian membawa mangsa berjumpa guru kaunselor sekolah.


Mangsa juga memberitahu kaunselor sekolah bahawa dia pernah dirogol dan diserang secara seksual pada tarikh-tarikh yang diberikan.


Dalam rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan, selain berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.


Tertuduh juga berkata dia akan menjadi bapa dan suami yang baik kepada keluarganya.


Timbalan Pendakwa Raya Rex Heng Yi Min memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh adalah seorang bekas tentera.


Beliau berkata, hukuman setimpal akan mencerminkan ketegasan undang-undang di Malaysia untuk menjaga kepentingan mangsa seksual bawah umur.


"Pihak pendakwaan percaya tertuduh telah menanam semangat menjaga keselamatan masyarakat dan keluarganya sendiri yang perlu ada dalam dirinya.


"Ini adalah kes di mana tertuduh jelas mengambil kesempatan daripada kedudukan dominannya sebagai bapa kandung untuk melakukan serangan seksual dan rogol ke atas mangsa.


"Ini jelas menyalahgunakan kedudukannya," katanya.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE