Dua peniaga dicekup jual makanan kepada kaki ponteng puasa
"Jika sabit kesalahan boleh berdepan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya
KUALA TERENGGANU - Dua peniaga wanita dicekup setelah didapati menjual makanan bungkus kepada kaki ponteng puasa di Marang dan Besut.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, kesalahan itu dikesan dilakukan ketika operasi Ops Ramadan yang dijalankan pada Rabu dan Khamis lalu.
Menurutnya, di Besut, seorang peniaga wanita berusia 57 tahun ditahan Pegawai Penguatkuasa Syariah jam 11.45 pagi pada Rabu.
Katanya, peniaga berkenaan dikatakan mengambil kesempatan menjual makanan kepada kaki ponteng seawal jam 8.30 pagi sejak awal Ramadan lalu.
"Tangkapan dilakukan hasil intipan di mana peniaga berkenaan didapati telah menjual makanan secara bungkus kepada beberapa lelaki yang dipercayai tidak berpuasa.
"Wanita tersebut ditahan di bawah seksyen 19 (a) Enakmen kesalahan jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 atas kesalahan tidak menghormati Ramadan.
"Jika sabit kesalahan boleh berdepan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sementara itu, katanya, seorang lagi peniaga wanita turut ditahan atas kesalahan sama dalam operasi berasingan di Marang, jam 11 pagi pada Khamis.
Md Adnan berkata, perbuatan wanita itu dikesan dilakukan selepas beberapa intipan dilakukan oleh Pegawai Penguatkuasa Syariah daerah Marang.
"Hasil intipan mendapati beberapa pelanggan telah datang ke kedai tersebut untuk membeli makanan secara bungkus," katanya.
Sementara itu, Md Adnan menegaskan, umat Islam perlu mengambil kesempatan yang ada pada bulan Ramadan untuk menunaikan kewajipan berpuasa.
"Umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sebagai peniaga pula jangan sesekali mengambil peluang untuk menjual makanan kepada kaki ponteng puasa kerana ia dilarang dalam agama dan undang-undang," katanya.
@liputan7official