Kenakan harga mahal ibarat ambil harta manusia secara batil: Mufti


Kenakan harga mahal ibarat ambil harta manusia secara batil: Mufti

"Perbuatan meletakkan harga barang keperluan yang tinggi termasuk makanan serta mengeksploitasi hajat orang ramai untuk menikmati juadah amat tidak wajar," katanya.


GEORGETOWN - Tindakan peniaga yang mengenakan harga yang mahal dan kualiti tidak setimpal dengan barang dijual diibarat mengambil harta manusia secara batil.


Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam juga melarang umatnya melakukan penipuan dalam perniagaan.


Menurutnya, perbuatan itu juga menggambarkan hati seseorang itu tidak bersih kerana tergamak menipu dalam perniagaan terutamanya pada bulan Ramadan.


"Islam adalah agama keamanan dan membawa mesej rahmat untuk semesta alam. Apa jua tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat dan menafikan rahmat dan kasih sayang antara sesama manusia adalah haram menurut hukum syarak.


"Tindakan sebahagian peniaga menaikkan harga barang-barang sewenang-wenangnya dengan mengambil kesempatan daripada keperluan dan hajat orang ramai adalah termasuk di dalam pengertian mengambil harta manusia secara batil.


"Perbuatan sedemikian ditegah dalam Islam," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.


Wan Salim berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai peniaga bazar Ramadan yang menaikkan harga makanan selain kualiti makanan tidak setimpal dengan harga yang dijual.


Sebelum ini, media melaporkan beberapa peniaga bazar Ramadan di beberapa negeri menaikkan harga juadah mereka sehingga 30 peratus.


Peniaga memberi alasan kenaikan itu terpaksa dilakukan kerana berlakunya kenaikan harga barang mentah, sewa tapak dan kos memasak.


Selain itu, ada beberapa individu melahirkan rasa kecewa apabila kualiti kebersihan makanan yang dibeli di bazar Ramadan tidak dititikberatkan oleh peniaga.


Dalam pada itu, Wan Salim berkata, perbuatan peniaga seperti itu menunjukkan hati yang kotor dan sifat mementingkan diri sendiri selain tidak peka terhadap kesusahan orang lain.


"Ini bukan akhlak seorang yang beriman yang sepatutnya bersimpati dan sensitif terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara sesama Islam.


"Perbuatan meletakkan harga barang keperluan yang tinggi termasuk makanan serta mengeksploitasi hajat orang ramai untuk menikmati juadah amat tidak wajar," katanya.


Beliau berkata, sepatutnya dalam bulan Ramadan ini, peniaga perlu jujur dalam menjalankan perniagaan selain lebih mementingkan dalam membuat kebajikan demi meraih pahala berganda yang dijanjikan oleh ALLAH SWT.


"Ia juga bagi merealisasikan amalan saling tolong menolong dalam membuat kebajikan yang amat digalakkan di dalam Islam.


"Saya menasihati para peniaga terutama yang beragama Islam supaya tidak mengambil keuntungan yang melampau dengan menaikkan harga jualan sesuka hati, sebaliknya mereka perlu mencari keberkatan hidup dengan bertimbang rasa kepada sesama insan," katanya.


Katanya lagi, ALLAH SWT sentiasa memerhati tindak tanduk dan perlakuan hamba-hambaNya.


"Kehidupan yang tidak ada barakah akan mengundang pelbagai masalah ke atas diri dan keluarga.


"Semoga Ramadan tahun ini membuka peluang untuk kita semua meraih pahala semaksimum mungkin menerusi pelbagai ibadah dan kebajikan yang dilaksanakan," katanya.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE