Hakim Marutin Pagan yang mendengar pengakuan bersalah tertuduh yang berumur 60 tahun, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta empat sebatan bagi setiap pertuduhan berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan hari ini.
Dia yang merayu dikenakan hukuman ringan serta kesal dengan perbuatannya, memberitahu mahkamah dia menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis selain perlu berjumpa doktor dan ke klinik mengambil ubat.
Tertuduh dalam rayuan itu memberitahu, dia juga menyara anaknya yang tidak bekerja selain isterinya menghidap ketumbuhan dalam otak.
Tertuduh juga merayu agar tidak dikenakan hukuman sebat memandangkan dia berusia 60 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Heng Yi Min meminta mahkamah mengenakan hukuman berat memandangkan tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa kurang upaya serta lembam.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak lembam berusia 13 tahun empat bulan di sebuah bilik rumah panjang, Sungai Apong sekitar November 2021 antara jam 1 hingga 3 petang.
Pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa merogol mangsa sama sekitar Disember 2021 antara jam 1 hingga 3 petang di tempat yang sama.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun berserta sebatan.
Berdasarkan fakta kes, pada 27 Mac 2022, kira-kira jam 7 malam, pengadu yang juga ibu kepada mangsa mendapati mangsa hilang selera makan serta sering muntah.
Pengadu mengesyaki mangsa mengandung dan meminta mangsa melakukan ujian kehamilan, di mana keputusan adalah positif.
Mangsa kemudian memberitahu dia dirogol oleh tertuduh.
Hasil laporan polis dibuat pengadu, tertuduh ditahan di pekarangan Balai Polis Pusat Sibu pada 1 April 2022, kira-kira jam 1.30 petang.
Siasatan mendapati mangsa dan tertuduh tinggal berjiran di rumah panjang sama, di mana kejadian rogol itu berlaku di bilik milik abang ipar tertuduh.
Mangsa yang mengenali tertuduh juga ingat tertuduh merogolnya sekali pada November 2021 dan dua kali pada Disember 2021.
@liputan7official