Suami mendorong anak istri guna kerusi roda di trafik light undang kesedihan warganet
"Suami saya ada masalah pertuturan sedikit yang orang sukar memahami apa yang dikatakannya, sebab itu saya perlu ikut untuk menjadi orang tengah," katanya
Butterworth: "Walau ke mana sekalipun suami pergi, dia pasti akan membawa saya dengan menggunakan kerusi roda ini," kata Siti Aminah Jamalludin, 30.
Siti Aminah yang tidak mampu berjalan kerana mempunyai masalah kecacatan pada kaki dan tangan sejak lahir mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Mohd Sofi Osman, 38, pada 2012.
Menurutnya, segala keperluannya selepas perkahwinan diuruskan suami yang banyak bersabar dan tabah menjaga dirinya sehingga kini.
"Dia tidak pernah tinggalkan saya di rumah dan sanggup menolak kerusi roda ini jika hendak pergi ke mana-mana kerana kami tidak mempunyai kereta.
"Sebelum ini, saya dijaga ibu mentua jadi suami tidak risau tinggalkan saya di rumah, tetapi selepas ibu mentua meninggal dunia Ogos lalu, kini suami kerap dengan saya.
"Suamilah yang memandikan saya, memakaikan saya pakaian dan menguruskan segala keperluan saya serta dua anak kami yang dia sedikit pun tidak mengeluh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bagan Dalam, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular klip video memaparkan Siti Aminah bersama suami dan anak perempuannya di pelbagai platform media sosial yang menyentuh perasaan warganet.
Di dalam video itu, Mohd Sofi kelihatan menolak kerusi roda dinaiki isteri yang meriba anak perempuan mereka dalam keadaan cuaca agak panas dekat Jalan Bagan Luar, di sini, hingga menarik simpati pengguna jalan raya di situ.
Mengulas lanjut, Siti Aminah berkata, situasi yang ditularkan itu ketika dia dan suami hendak membeli makanan haiwan di Jalan Telaga Air yang jaraknya lebih lima kilometer (km) dari kediaman mereka.
"Saya pun tidak sangka sampai ada orang rakam keadaan kami ketika itu sebab ke mana-mana kami pergi di sekitar kawasan ini memang suami akan menolak kerusi roda sebab kami tiada pengangkutan lain.
"Suami saya ada masalah pertuturan sedikit yang orang sukar memahami apa yang dikatakannya, sebab itu saya perlu ikut untuk menjadi orang tengah," katanya.
Menurut Siti Aminah, dia dan suami juga terpaksa menghentikan rawatan anak bongsunya di Hospital Seberang Jaya (HSJ) sejak setahun lalu juga disebabkan masalah pengangkutan.
"Untuk pergi dekat-dekat kawasan sekitar ini boleh lagi gagah berkerusi roda tetapi jauh dari sini memang tak mampu sebab fikir kudrat suami juga yang kami terpaksa hentikan rawatan anak, namun sentiasa memantau keadaannya," katanya.
Siti Aminah ketika ini mendapat bantuan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 pada setiap bulan.
Wang itulah untuk mereka kami menyara kehidupan sekeluarga memandangkan suami Siti Aminah hanya bekerja mengambil upah membaiki kenderaan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd Sofi di talian 016-9305211 atau menyalurkan bantuan melalui akaun Bank Islam Mohd Sofi Osman 07-016020807895.
@liputan7official