Dakwa foto sakit Kazim Elias ‘lakonan’, Aeril Zafrel dikecam teruk
"Mempersoalkan kesahihan foto dikongsi penceramah bebas, Datuk Kazim Elias yang diuji sakit misteri, pelakon Aeril Zafrel menerima ‘berbakul-bakul’ kecaman daripada netizen."
PETALING JAYA – Mempersoalkan kesahihan foto dikongsi penceramah bebas, Datuk Kazim Elias yang diuji sakit misteri, pelakon Aeril Zafrel menerima ‘berbakul-bakul’ kecaman daripada netizen.
Aeril atau nama lengkapnya, Suhairil Sunari bagaimanapun kemudiannya memohon maaf atas keterlanjuran kata dan mengakui khilaf diri yang kurang sensitif tentang tahap kesihatan lelaki berpengaruh itu.
“Tadi ada tanya Ustaz Kazim Elias sebab tangan dia tu. Iya memang saya tahu ustaz tengah sakit kena buatan orang sekarang ini.
“Tapi gambar yang ustaz muat naik berdasarkan pemerhatian saya nampak kesan solekan. Tapi itulah, orang kita ini pun, saya tanya sahaja dan berbakul-bakul kena kami,” katanya menerusi satu hantaran status dalam Facebook.
Terdahulu, suami kepada usahawan dan pelakon Wawa Zainal itu mencetuskan amarah dalam kalangan netizen apabila meninggalkan komen mengundang dalam ruangan komen Facebook rasmi penceramah bebas itu.
“Shooting kan ni ustaz?,” demikian soal Aeril, 34, yang mencetuskan pergeseran dalam kalangan netizen.
“Bukan, ini buatan hasad dengki orang terhadap ustaz. Kau ingat semua benda nak buat TikTok ke,” itu antara komen yang ditinggalkan netizen mengecam tindakan Aeril.
Dalam pada itu, selepas mengetahui kebenaran yang Ustaz Kazim sebenarnya memang diuji sakit misteri iaitu sihir, Aeril mengharapkan orang ramai berhenti berkelahi dan mendoakan kesembuhan figura itu.
Mari sama-sama kita doakan ustaz diberikan kesembuhan dan dijauhkan dari hasad dengki,” coretnya.
Ustaz Kazim dalam satu siaran langsung (live) Facebook, menjelaskan beliau sememangnya menderita penyakit misteri dan terpaksa disolek pada bahagian-bahagian tertentu tubuh, terutama apabila memenuhi undangan televisyen.
@liputan7official