Punca Remaja tikam ibu kandung adalah kerana sakit mental
"Mangsa ditikam di dada dan kejadian itu mengakibatkan paru-parunya bocor serta kehilangan banyak darah dan kini dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian."
KOTA BHARU - Tindakan seorang remaja lelaki yang sanggup tikam ibunya menggunakan pisau dalam kejadian di Pasir Puteh, malam Selasa dipercayai akibat mengalami masalah halusinasi.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bagaimanapun kenyataan yang dibuat secara lisan itu perlu dibuktikan menerusi rawatan hospital.
"Kami telah menahan reman berusia 14 tahun itu untuk siasatan lanjut.
"Berpandukan kepada kenyataan, suspek dikatakan berada dalam satu suasana pemikiran tidak normal iaitu halusinasi tapi itu perlu dibuktikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Khamis.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, suspek akan dihantar ke hospital untuk rujuk pakar psikologi.
Beliau berkata, siasatan yang bermula pada Rabu itu juga bertujuan untuk melihat karakter suspek di luar dan semasa di sekolah.
"Ujian saringan juga turut dilakukan dan keputusannya adalah negatif," katanya.
Dalam kejadian jam 11.45 malam pada Rabu, seorang wanita berusia 41 tahun parah selepas ditikam dengan pisau oleh anak lelakinya ketika tidur di rumahnya di Bukit Yong, Pasir Puteh.
Mangsa ditikam di dada dan kejadian itu mengakibatkan paru-parunya bocor serta kehilangan banyak darah dan kini dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
@liputan7official