SKMM sekat 1,903 laman pornografi, Malaysia catat no 1 melayari laman tersebut
"Malaysia menduduki tempat pertama di Asia dan keempat seluruh dunia di bawah Slovakia, Bulgaria dan Ireland sebagai antara negara tertinggi melayari laman pornografi terkenal berdasarkan statistik pelawat yang dikeluarkan oleh laman tersebut."
SHAH ALAM - Sebanyak 1,903 laman pornografi dan laman sesawang berunsur lucah telah disekat akses oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sejak tahun lalu sehingga 31 April.
Pengerusinya, Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, sekatan tersebut dijalankan berdasarkan pemantauan dan hasil aduan serta maklumat yang diterima daripada orang ramai.
"Tindakan yang telah diambil adalah berdasarkan kepada peruntukan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
"Sekatan sebegini akan dilaksanakan secara berterusan berasaskan aduan dan maklumat yg diterima bagi melindungi pengguna," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.
Pada Ahad media tempatan melaporkan Malaysia menduduki tempat pertama di Asia dan keempat seluruh dunia di bawah Slovakia, Bulgaria dan Ireland sebagai antara negara tertinggi melayari salah satu laman pornografi terkenal berdasarkan statistik pelawat yang dikeluarkan oleh laman tersebut.
Berdasarkan statistik tersebut, jumlah trafik pelawat yang mengakses laman tersebut di seluruh dunia melonjak sehingga 11.6 peratus daripada hanya 6.5 peratus sejak bulan Mac 2020 semasa kebanyakan negara melaksanakan perintah berkurung untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
Pada 30 November tahun lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa sejumlah 4,068 laman pornografi telah disekat oleh SKMM dari tahun 2018 hingga 30 September 2021.
Katanya, langkah itu diambil bagi membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada dilayari rakyat di negara ini.
@liputan7official