Tiga sekawan edar 134.6 gram methamphetamine dihukum gantung
“Mahkamah menganggap ketiga-tiga tertuduh mereka cerita sedangkan tahu mengenai dadah tersebut sebelum melarikan diri. Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah malah turut disabitkan dengan pertuduhan itu dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya.
KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tiga sekawan selepas mereka didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 134.6 gram di Kampung Bendang Keladi dekat Tanah Merah, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan hukuman itu kepada Mohd. Nazri Mohamed, 38, Mat Zainudin Mansor, 38, dan Ismail Jusoh, 47, selepas mereka gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.
Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya memaklumkan bahawa, ketiga-tiga tertuduh berada di wakaf sebelum melarikan diri semasa serbuan dijalankan.
“Mahkamah menganggap ketiga-tiga tertuduh mereka cerita sedangkan tahu mengenai dadah tersebut sebelum melarikan diri.
“Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah malah turut disabitkan dengan pertuduhan itu dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 134.6 gram kira-kira pukul 2.30 petang di sebuah wakaf di tepi jalan kawasan sawah padi di Kampung Bendang Keladi, Tanah Merah pada 21 Mac 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Aka Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam masing-masing.
Mengikut satu pertuduhan pindaan, ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas pertuduhan memiliki 0.30 gram methamphetamine bagi Ismail, Mat Zainuddin (0.19 gram) dan Mohd. Nazri (0.20 gram) di masa, tarikh dan lokasi sama.
Selain itu, mereka turut dihukum penjara enam bulan atas pertuduhan memiliki racun jenis Caffiene seberat 9.2 gram pada bulan Mac 2018.
Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh mereka ditahan iaitu empat tahun lalu.
@liputan7official