Kanak-kanak maut dilanggar ketika lintas jalan
"Mangsa terus berlari dan melintas di hadapan Toyota Hilux menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya
Kuala Krai: Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dilanggar pacuan empat roda di Kilometer 83 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Peria, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 2.40 petang itu, mangsa, Mohammad Elis Adam Abdullah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Pemandu Toyota Hilux berusia 66 tahun yang melanggar mangsa tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berkenaan dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.
"Ketika kejadian mangsa berada di bahu jalan dipercayai dalam perjalanan pulang dari kedai ke rumah yang terletak di seberang.
"Mangsa terus berlari dan melintas di hadapan Toyota Hilux menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
@liputan7official