PATI tinggal dua anak demi selamatkan diri


PATI tinggal dua anak demi selamatkan diri

"Seperti yang kita lihat tadi dua anak kecil ditinggalkan oleh ibu bapa yang melarikan diri dan tindakan kita adalah menempatkan pegawai Imigresen Kuala Lumpur di kediaman berkenaan sehinggalah ibu bapanya kembali ke rumah berkenaan," katanya.


KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak berusia satu dan enam tahun ditinggalkan ibu bapa mereka yang disyaki melarikan diri ketika operasi Jabatan Imigresen (Imigresen) Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Pasangan suami isteri dipercayai warga Indonesia itu hilang ketika serbuan jam 1.30 pagi di kawasan setinggan, Kampung Masjid, Segambut Dalam, di sini.

Itu antara situasi dikesan ketika operasi Imigresen Kuala Lumpur, susulan Program Rekalibrasi Pulang terhadap semua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berakhir jam 12 tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin, berkata serbuan ke atas puluhan rumah sewa dan bilik sewa di kampung itu membawa kepada pemeriksaan seramai 92 orang warga Indonesia dan Bangladesh yang mendiami kawasan berkenaan.

Ia membabitkan 76 individu dewasa termasuk 46 lelaki serta enam kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima bulan hingga 57 tahun.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi masa serta menggunakan dokumen perjalanan palsu," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan berakhir.

Syamsul Badrin berkata pelbagai cara dilakukan oleh PATI yang mendiami kawasan berkenaan untuk mengelakkan daripada ditahan anggota penguat kuasa Imigresen termasuk melarikan diri melalui kawasan belukar dalam keadaan gelap dan berkaki ayam.

"Seperti yang kita lihat tadi dua anak kecil ditinggalkan oleh ibu bapa yang melarikan diri dan tindakan kita adalah menempatkan pegawai Imigresen Kuala Lumpur di kediaman berkenaan sehinggalah ibu bapanya kembali ke rumah berkenaan," katanya.

Imigresen Kuala Lumpur akan terus menggempur kawasan kebanjiran PATI terutama membabitkan kawasan kediaman, perkilangan dan pusat perniagaan yang menjadi tumpuan kerja warga asing sekitar ibu negara bagi mengesan mereka yang tidak menyerah diri selepas Program Rekalibrasi Pulang berakhir.

"Tiada lagi kompromi, kita akan bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Akta Imigresen, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah memberikan peluang sejak November 2020, namun ada yang masih berdegil dan kita akan mengesan mereka," katanya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE