Sumbangan RM13.25 juta untuk kebajikan bukan untuk saya - Ahmad Zahid

Sumbangan RM13.25 juta untuk kebajikan bukan untuk saya -  Ahmad Zahid

"Yang Arif, sumbangan itu bukan untuk saya secara peribadi, ia adalah untuk kebajikan. Saya tiada perasaan apa-apa dan itu adalah biasa," katanya semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.


KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa, bahawa sumbangan berjumlah RM13.25 juta daripada ahli perniagaan Junaith Asharab Md Shariff adalah untuk kegunaan bagi aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi (YAB).

Ahmad Zahid, 69, berkata, sumbangan itu bukannya untuk kepentingan beliau.

"Yang Arif, sumbangan itu bukan untuk saya secara peribadi, ia adalah untuk kebajikan. Saya tiada perasaan apa-apa dan itu adalah biasa," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd 'Afif Ali semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.

Mohd 'Afif: Datuk Seri tidak 'happy' apabila ada orang yang bagi sumbangan kepada Datuk Seri?

Ahmad Zahid: Bukan untuk saya, untuk saya tidak perlu 'happy' pun, ucap terima kasih sahaja. Saya tidak ada perasaan, ia bukan untuk saya, kalau untuk saya, saya gembiralah.

Bagaimanapun, beliau tidak mempersoalkan sumber sumbangan itu diperoleh daripada mana. Semasa ditanya Mohd 'Afif mengenai pemborong tekstil Junaith pernah bertanya kepada beliau untuk mendapatkan pengecualian cukai, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak ingat.

Mohd 'Afif: Sepanjang perbicaraan kes ini tidak ada sebarang dokumen yang menunjukkan bahawa pengecualian cukai atau pun maklumat berkaitan sumbangan Junaith ini kepada YAB pernah dikemukakan di mahkamah.

Ahmad Zahid: Setuju Mohd' Afif: Saya cadangkan Junaith pernah bertanya kepada Datuk Seri bahawa beliau meminta resit untuk mendapatkan pengecualian cukai.

Ahmad Zahid: Saya tidak ingat.

Menyentuh mengenai dana YAB berjumlah RM1.3 juta yang diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2015, Ahmad Zahid berkata, dana itu adalah berbentuk pinjaman dan bukannya tajaan.

Beliau berkata, dana itu diminta oleh menantunya Datuk Zul Hisham Zainal yang juga ahli perniagaan sebagai bantuan kewangan kepada pemain serta kakitangan persatuan bola sepak itu yang sudah empat bulan tidak dibayar gaji.

Ahmad Zahid bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin bahawa beliau yang mengarahkan bekas Setiausaha Eksekutifnya Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly untuk menyediakan cek RM1.3 juta itu kepada persatuan bola sepak tersebut dan telah menandatangani cek berkenaan.

Disoal Nur Aishah sama ada YAB yang bertujuan membantu golongan miskin dan fakir boleh memberi dana kepada persatuan bola sepak itu, Ahmad Zahid menjelaskan apabila mereka tidak mendapat bayaran gaji selama empat bulan, mereka akan menjadi miskin kerana tidak mampu untuk menampung perbelanjaan harian, bayaran rumah dan kereta.

Ahmad Zahid turut menafikan wang RM1.3 juta yang diberikan kepada persatuan bola sepak itu adalah satu kesalahan pecah amanah kerana wang tersebut telah dibayar semula kepada YAB.

Sementara itu, Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa beliau sering menyalahkan orang lain semasa memberi keterangan di mahkamah.

"Saya bukan menyalahkan orang lain, ia bersifat kebenaran dan itulah yang benar-benar berlaku. Kenyataan saya adalah berdasarkan sumpah yang saya baca (di mahkamah)," katanya.

Dalam prosiding pada Selasa, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan pihak pembelaan akan memanggil 43 saksi. Pasukan pembelaan Ahmad Zahid sebelum ini memaklumkan mahkamah bahawa ia akan memanggil 20 saksi.

Pada 24 Januari lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan tersebut. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. - Bernama.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE