Lelaki putus jari ditetak lelaki langgar keretanya
“Sebaik tiba di rumah, suspek meminta mangsa menunggu di luar sementara dia masuk ke dalam kononnya mahu mengambil wang ganti rugi sebelum dia tiba-tiba meluru keluar dengan bersenjatakan objek tajam seperti pedang semurai untuk menyerang mangsa,” katanya
MARANG – Hanya kerana perlanggaran kecil, seorang lelaki menjadi mangsa tetakan sehingga mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki kiri apabila di Kampung Gong Cempedak di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa berusia 38 tahun yang putus sebatang jari kiri nekad memandu kereta seorang diri sejauh lebih 20 kilometer ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, suspek berusia 33 tahun bertindak cuba melarikan diri dengan merempuh sebuah sekatan jalan raya (SJR) di Merchang di sini sebelum berjaya diberkas polis pada pukul 8.45 malam.
Beliau berkata, siasatan awalnya, kejadian bermula apabila kenderaan dipandu suspek dan mangsa mengalami kemalangan kecil.
“Suspek pada mulanya bersetuju untuk membayar ganti rugi dan mengajak mangsa ke rumahnya.
“Sebaik tiba di rumah, suspek meminta mangsa menunggu di luar sementara dia masuk ke dalam kononnya mahu mengambil wang ganti rugi sebelum dia tiba-tiba meluru keluar dengan bersenjatakan objek tajam seperti pedang semurai untuk menyerang mangsa,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, suspek yang bekerja sendiri kemudiannya cuba melarikan diri ke arah Dungun dengan menaiki kereta Proton Wira berwarna biru.
Mohd. Zain berkata, ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphitamine dan dia ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa minggu depan.
@liputan7official