Ustazah dakwa ubat tahan sakit, haram
“Sedikit atau setitik benda yang haram memasuki tubuh badan kamu, 40 hari amalan kamu tidak akan diterima dan doa tidak akan diangkat." Katanya
PETALING JAYA – Penceramah bebas, Ustazah Siti Afifah sekali lagi menjadi topik perbualan dalam kalangan netizen apabila mendakwa hukum pengambilan ubat tahan sakit adalah haram menerusi sebuah video.
Menurut Ustazah Siti Afifah, amalan dan doa seseorang tidak diterima oleh Allah sekiranya benda haram memasuki tubuh menyebabkan mereka meninggal dalam keadaan hina dan bakal menghuni neraka kerana melanggar syariat agama.
“Sedikit atau setitik benda yang haram memasuki tubuh badan kamu, 40 hari amalan kamu tidak akan diterima dan doa tidak akan diangkat.
“Sekiranya Allah mengambil nyawa kamu dalam tempoh itu, maka kamu akan meninggal dalam keadaan yang hina kerana melanggar hukum syariat islam,” katanya menerusi hantaran video tular tersebut.
Video yang tular itu seterusnya mengundang pelbagai reaksi daripada netizen di laman Twitter yang rata-rata kebinggungan dengan kenyataan itu.
“Ya Allah. Saya adalah individu yang kerap makan ubat tahan sakit. Jika tidak makan ubat, saya tidak mampu berjalan, tidak mampu duduk dan tidak boleh solat,” ciap seorang pengguna.
“Jika kerana makan ubat tahan sakit menyebabkan amalan tidak diterima selama 40 hari, agaknya bagaimana pula dengan mereka yang perlu makan ubat sakit perut. Entah apalah agaknya hukum,” kata seorang lagi netizen.
Terdahulu, pendakwah bebas tersebut pernah mendapat perhatian ramai susulan kenyataannya yang mendakwa suami adalah ‘dayus’ jika membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran.
@liputan7official