Budak lelaki lempar kucing dari tingkat 22
Lebih 10,000 orang menandatangani petisyen secara online untuk menuntut keadilan bagi seekor kucing yang dilempar dari... bangunan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Singapura, lapor laman berita Mothership. Petisyen itu dimulakan oleh seorang pengguna media sosial bernama Nadya Im pada 15 Disember lalu di laman Change.org. Berdasarkan satu rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) pada 14 Disember lalu sekitar pukul 1:35 tengah hari (waktu tempatan), seorang budak lelaki dan seekor kucing dilihat keluar dari lif. Budak itu membawa kucing tersebut dan kemudian melemparkannya ke atas pagar. Kejadian itu berlaku di tingkat 22 Blok 186 Boon Lay Avenue. Menurut penyelamat kucing tempatan, Feline, kucing bernama Panther itu milik penduduk di kawasan tersebut. Insiden itu telah menimbulkan kekecewaan dalam kalangan masyarakat pencinta kucing di Singapura. Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) di Singapura dalam satu catatan di Facebook berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kes itu dan menegaskan bahawa ‘penderaan dan kekejaman haiwan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat’. Pengarah kumpulan Perkhidmatan Haiwan & Veterinar (AVS) di NParks, Jessica Kwok berkata, siasatan terhadap kes itu sedang dijalankan. Dia meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai butiran kes dan membenarkan penyiasatan berjalan dengan sewajarnya. Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) juga berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya telah membantu pemilik kucing itu memfailkan laporan AVS dan laporan polis. – Agensi
@liputan7official