Harga ikan berbeza jika disentuh
"...kalau ikan yang disentuh (pilih sendiri) harganya lain ya. Dari RM 7 sekilo kepada RM 10 sekilo" Peniaga
KALAU dahulu, Merak Jalanan hanya mengenali Sabah melalui pembacaan, laporan berita ataupun program-program yang disiarkan di televisyen.
Namun... apabila dewasa, akhirnya Merak Jalanan dapat melancong ke Negeri di Bawah Bayu ini sempena cuti sekolah kali ini.
Merak Jalanan memilih untuk tinggal di apartmen homestay di tengah-tengah bandar Kota Kinabalu kerana ingin membeli makanan laut segar dan masak sendiri.
Di Sabah, ikan basung antara ikan paling popular kerana harganya murah dan rasanya yang enak.
Ikan basung merupakan kumpulan ikan jenis sardin dan kalau digoreng garing sahaja dilawan kicap dan sambal belacan pun sudah buat Merak Jalanan menambah nasi.
Di kedai-kedai makan di Sabah, menu ikan basung goreng dengan nasi putih, sambal dan sayur memang paling jadi tumpuan.
Jadi, Merak Jalanan pun pergilah ke salah satu pasar untuk borong ikan basung.
Ketika meninjau-ninjau deretan bahagian basah, Merak Jalanan tertarik kepada ikan-ikan basung bulat yang besar dan segar.
Kata penjual, harga ikan sekilo RM7.
Wah bukan main murah.
Laju jari-jemari Merak Jalanan memilih ikan-ikan yang gemuk namun terhenti apabila penjual ikan berkata: "...kalau ikan yang disentuh (pilih sendiri) harganya lain ya."
Okey, sekarang Merak Jalanan terkedu.
Rupanya jika kita pilih ikan sendiri, harganya jadi RM10 sekilo.
Terus Merak Jalanan letak ikan gemuk yang dipilih tadi.
Kata penjual itu, memang begitulah cara mereka menjual.
Jika tidak, pembeli harus membiarkan sahaja penjual mengambil sendiri ikan-ikan dan perlu reda sahaja pilihan penjual.
Aduhai, kecewa pula Merak Jalanan rasa.
Ini mungkin satu insiden yang berlaku di satu tempat yang dikunjungi, tidak pasti pula bagaimana amalan jual beli di tempat lain pula.
Persoalan yang bermain di minda Merak Jalanan ialah siapakah yang menentukan harga dan peraturan ini ya?
Kredit : Merak Jalanan
Ikuti channel telegram Liputan 7 untuk update berita semasa dalam dan luar negara!
@liputan7official