Jurutera, doktor buat dua kerja sebab gaji tak cukup
“Sebagai pegawai perubatan yang baru bekerja, biasanya gaji bersih dalam RM4,500 sebulan, jika masih bujang dan tinggal bersama keluarga, ia mungkin mencukupi, tetapi jika sudah berkahwin dan tinggal di ibu kota jumlah itu kurang cukup."
PETALING JAYA – Rata-rata golongan muda berusia di bawah 35 tahun kini mula melakukan dua pekerjaan setiap hari demi memantapkan simpanan kewangan bagi menghadapi situasi di luar jangka yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, kebanyakan anak muda yang tinggal di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang tidak kisah untuk melakukan kerja sampingan walaupun keletihan.
Seorang jurutera, Muhammad Hazim Shahabudin, 29, berkata, dia mula melakukan kerja sampingan sebagai pengajar pada waktu malam bagi menampung perbelanjaan bulanan selepas berdepan beberapa kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) menerusi pembelian rumah yang dibuat tahun ini.
“Sebelum ini, saya selesa dengan satu kerja, tetapi apabila ada beli rumah selain jangkaan berlakunya inflasi global tahun depan, saya mula risau tentang aliran tunai bulanan dan melakukan dua pekerjaan.
“Jika dilihat pada Julai lalu, pembayaran rumah saya bertambah sebanyak RM160 kerana kenaikan OPR, seterusnya RM80 bulan ini, malah Januari depan dijangka ada penambahan.
“Jadi, saya perlu cari kerja sampingan untuk mengimbangkan perbelanjaan bulanan,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, meskipun dikategorikan sebagai golongan M40, tetapi komitmen bulanan setiap individu berbeza terutama mereka yang sudah berkeluarga.
“Bagi orang lain mereka mungkin lihat kehidupan saya baik kerana sudah memiliki kereta dan rumah pada usia 29 tahun, namun komitmen setiap individu berbeza.
“Justeru, saya kena bersedia lebih awal untuk memastikan simpanan mencukupi,” ujarnya.
Seorang pekerja swasta, Sadiah Jakaria, 33, pula berkata, walaupun letih kerana perlu melakukan dua kerja, tetapi rasa itu perlu diketepikan.
“Sejujurnya, prestasi syarikat saya bekerja kurang baik ketika ini selepas banyak keistimewaan dikurangkan seperti tiada bonus tahunan. Jadi, ia memberi terjemahan bahawa kami berada di ‘hujung tanduk’ dan bila-bila masa boleh diberhentikan.
“Jika tiada persediaan awal, mungkin saya akan terjejas teruk kerana kurang simpanan untuk bertahan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan,” ujarnya.
Susulan itu, dia mencari peluang untuk menjadi perunding takaful secara separuh masa bagi meningkatkan pendapatan.
Sementara itu, doktor perubatan, Dr. Firzan Izwan Yusop, 30, mengakui turut melakukan dua kerja sejak beberapa tahun lalu bagi mengimbangi taraf kehidupan yang semakin meningkat.
“Sebagai pegawai perubatan yang baru bekerja, biasanya gaji bersih dalam RM4,500 sebulan, jika masih bujang dan tinggal bersama keluarga, ia mungkin mencukupi, tetapi jika sudah berkahwin dan tinggal di ibu kota jumlah itu kurang cukup.
“Sebab itu, saya buat dua kerja bagi mengimbangi corak kehidupan serta mahu meningkatkan tabungan. Selain itu, status pekerjaan kontrak juga menyebabkan saya risau dan perlu ada kerja sampingan,” ujarnya.
Katanya, dia akan membahagikan masa untuk bekerja sebagai doktor sambilan di klinik swasta apabila mempunyai masa lapang selain menjadi perunding kewangan di sebuah syarikat swasta.
“Pada pandangan saya, trend membuat dua pekerjaan ketika ini bukan semata-mata sebagai persediaan menghadapi kemungkinan inflasi tahun depan, sebaliknya ia telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu untuk kehidupan lebih selesa.
“Jika seseorang itu mempunyai masa terluang, tidak salah untuk dia membuat dua kerja, asalkan tumpuan dan prestasi terhadap kerja hakiki tidak dikurangkan,” katanya.
@liputan7official