Mekanik rogol kanak-kanak dihukum 7 tahun penjara 1 sebatan, menangis rayu kurangkan hukuman


Mekanik rogol kanak-kanak dihukum 7 tahun penjara 1 sebatan, menangis rayu kurangkan hukuman

“Saya perlu menjaga isteri yang tidak bekerja, dua anak yang masih bersekolah termasuk adik-beradik lain." rayuannya

SHAH ALAM – Seorang mekanik menangis di Mahkamah Sesyen ketika merayu agar dikenakan hukuman ringan, kerana merogol kanak-kanak perempuan berusia... 12 tahun pada tahun lalu.

Muhammad Amirul Abdulllah, 27, dipenjara tujuh tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 14 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu, didakwa merogol mangsa di sebuah flat di Puchong, pada jam 9.30 malam, 29 Julai tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali berkata, perbuatan tertuduh adalah jijik dan dipandang hina oleh masyarakat.

"Lebih hina apabila ia dilakukan terhadap mangsa, seorang kanak-kanak yang naif dan lemah.

"Saya mohon mahkamah mengambil kira hasrat kerajaan untuk melindungi kanak-kanak terutama dari jenayah seksual,” katanya.

Beliau berkata, hukuman itu hanya dapat dizahirkan oleh mahkamah menerusi hukuman berat dan pemenjaraan yang panjang agar tertuduh insaf.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar hukuman itu dikurangkan kerana mengaku insaf.

“Saya perlu menjaga isteri yang tidak bekerja, dua anak yang masih bersekolah termasuk adik-beradik lain.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh dan tiga rakannya ke flat berkenaan bersama mangsa.

Mereka telah merogol kanak-kanak malang itu secara bergilir-gilir sedangkan perbuatan mereka dilakukan tanpa kerelaan mangsa.

Pada jam 1 pagi, keesokan hari, mangsa keluar dari rumah tersebut dan memberitahu ahli keluarganya.

Dia telah ditangkap oleh pihak polis, pada jam 5.30 petang, 14 Oktober lalu.

Ikuti channel telegram Liputan 7 untuk update berita semasa dalam dan luar negara!


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE