Pelarian Rohingya yang terdampar di Aceh tunggu masa untuk masuk ke Malaysia
SHAH ALAM - Kira-kira dua bot besar yang sarat membawa pelarian Rohingya kini menuju ke Malaysia....
Pemerhati isu pelarian Rohingya sejak tahun 2015, Norman Fernandez berkata, berdasarkan maklumat yang tersebar, menerusi kenyataan daripada aktivis Rohingnya mendedahkan bahawa bot-bot berkenaan kini berada hampir dengan perairan negara.
"Jelas, mereka hanya menunggu masa yang sesuai untuk membolosi perairan kita untuk memasuki negara bagi melepasi rondaan anggota-anggota laut kita,” katanya.
Norman yang juga merupakan seorang peguam berkata, hujung tahun sehingga bulan Mac dilihat musim atau waktu yang sesuai buat pelarian Rohingya ke Malaysia.
"Saya ingat sekarang (musim yang sesuai) dan kemungkinan untuk beberapa bulan sehingga bulan Mac," katanya.
Untuk itu katanya, beliau menyarankan supaya kerajaan menerusi agensi penguatkuasa untuk bersiap siaga menjaga perairan negara, memandangkan kini adalah musim yang sesuai untuk pelayaran dan banyak kapal dengan pelarian Rohingya yang telah mendarat di Aceh dan diselamatkan tentera laut Vietnam, Sri Lanka di mana Malaysia tetap menjadi negara tujuan utama mereka.
"Pemantauan yang lebih ketat perlu dilakukan bermula sekarang, bagi mengelak perairan kita dibolosi oleh mereka.
"Jadi jika perairan kita sentiasa diawasi mereka-mereka ini tidak akan dapat memasuki negara," katanya.
Terbaru pada Selasa, sekurang-kurangnya 200 orang pelarian Rohingya mendarat di perairan Aceh, Indonesia, pendaratan keempat seumpamanya dalam tempoh beberapa bulan lalu.
"Mereka ini menjadi beban kekal kepada Malaysia kerana setelah mereka berada di sini, mereka tidak akan pulang ke negara asal, anak-anak mereka yang lahir di sini juga sudah sebati dengan suasana di Malaysia," katanya.
Justeru beliau menyarankan bagi mengatasi isu ini kerajaan perlu menghantar mesej yang jelas dan tegas bahawa mereka tidak dialu-alukan ke Malaysia.
"Negara perlu menghantar mesej tegas, kita tidak lagi mahu mereka di Malaysia, jika mereka datang juga kita perlu kenakan tindakan misalnya masukkan mereka ke dalam kem-kem pelarian dan tidak benarkan lagi mereka bebas, jadi mereka akan berfikir berkali-kali untuk datang ke Malaysia," katanya.
INFO
- Etnik Rohingya dari Myanmar kekal mencatatkan jumlah pelarian paling ramai di Malaysia iaitu seramai 103,810 orang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga hujung Mac 2022. Menurut data menerusi laman web UNHCR, jumlah itu menjadikan sebanyak 57 peratus pelarian Rohingya berada di negara ini daripada jumlah keseluruhan 182,120 pelarian dan pencari suaka politik berdaftar.
- Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
- Dengan kata lain, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.
@liputan7official