Agama Islam, Melayu selamat di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan

Agama Islam, Melayu selamat di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan

"Anwar dilihat berusaha keras mempamerkan sisi nasionalisme dan kemelayuan beliau sejak kebelakangan ini"


KEPUTUSAN Pemilihan Agung UMNO penggal 2023-2026 memberi indikasi hala tuju politik UMNO di mana persoalan kelangsungan kerjasama Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan negeri semakin kukuh.

Ia sebagaimana yang disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat kedua Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan kemenangan besar kem pemimpin pro-Presiden dalam pemilihan baru berakhir itu sebagai tanda akar umbi UMNO menyokong pentadbiran kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jawapan Ahmad Zahid itu pastinya mengendurkan kebimbangan sama ada keutuhan Kerajaan Perpaduan masih mampu digugat mana-mana anasir ‘musuh dalam selimut’, terutama di peringkat UMNO sendiri.

Bagaimanapun, persoalan lanjutan daripada kerjasama semakin erat antara Barisan Nasional (BN) yang turut mewakili UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) ditunjangi Anwar menimbulkan tanda tanya tentang persaingan merebut imej pejuang politik Melayu di dalam era Kerajaan Perpaduan hari ini.

Satu lagi cabaran besar perlu ditangani UMNO dan Anwar pasca pemilihan UMNO, apakah kaedah terbaik bagi memastikan proses pemindahan undi (transferable vote) dalam kalangan penyokong dua koalisi berkenaan berjalan lancar pada saat mereka semakin kesuntukan masa mendepani pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri?

Dengan Anwar dilihat berusaha keras mempamerkan sisi nasionalisme dan kemelayuan beliau sejak kebelakangan ini, terdapat pandangan seolah-olah parti pimpinannya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih bernafsu meraih laba politik Melayu berbanding UMNO pada saat UMNO diharapkan berperanan mengembalikan sokongan segmen tersebut kepada kerajaan.

Ada beberapa sebab yang mungkin mendorong perjuangan PH bagi merebut imej pejuang politik Melayu-Islam dalam koalisi BN-PH.“Kerajaan ditunjangi PH dalam pentadbiran Anwar sedar cabaran utama PH sebagai parti adalah defisit pengundi Melayu beragama Islam.

“Tanpa sokongan kelompok ini yang mencukupi, PH tidak berupaya menjadi kerajaan secara bersendirian dengan PRU14 dan PRU15 menunjukkan bukti jelas kerjasama dengan parti berpaksikan Melayu Islam amat diperlukan mereka.

“Justeru, ini adalah masanya untuk Anwar mempamerkan diri beliau dengan imej dan naratif pro-Melayu, bumiputera dan Islam.

Sebaliknya UMNO kini menjadi batu loncatan buat PH membina pengaruh dan sokongan Melayu Islam terhadap mereka,” ujar Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi.

Berasaskan usaha terkini Anwar dan PH mendekati segmen pengundi Melayu Islam terutama di kawasan luar bandar, terdapat juga persoalan sama ada tindakan itu disebabkan PH masih belum menyakini kemampuan UMNO untuk memecahkan dominasi Perikatan Nasional (PN) sebagai juara segmen Melayu-Islam dan pengundi luar bandar.

Bagi Anis Anwar, ada dua unjuran situasi perlu dipertimbangkan PH di mana pertamanya UMNO bukan rakan komponen mereka, sebaliknya sekadar rakan strategik kerjasama mendepani pilihan raya.

“Oleh itu, dalam jangka masa panjang sekiranya kerjasama ini terlerai dalam apa jua faktor, PH sudah boleh bersedia berdiri dengan sokongan segmen pengundi Melayu dan bukan Melayu secara bersendirian.

“Dalam keadaan semasa pula, trend sokongan pengundi Melayu kepada UMNO semakin merosot juga memerlukan PH turut berusaha mempamerkan naratif pro-Melayu Islam.

Ini kerana penilaian utama rakyat terhadap sesebuah kerajaan terletak pada institusi Perdana Menteri walaupun UMNO diberi tanggungjawab menguruskan kementerian yang menjaga kepentingan Melayu luar bandar (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah),” ujarnya.

Masih pramatang

Pandangan sama turut dikongsikan Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar yang melihat BN-PH masih belum mencapai kata putus dalam menentukan parti mana wajar ditampilkan sebagai pejuang segmen Melayu Islam disebabkan koalisi itu masih bersifat pramatang.

“Hakikatnya BN-PH menyedari koalisi baharu mereka itu belum terbina dalam pemikiran pengundi dan sekadar digarap di peringkat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Paling penting, asas kerjasama di peringkat parti-parti komponen juga belum dimuktamadkan sepenuhnya.

“Anwar dan PH juga faham UMNO masih belum menemui satu hujah tuntas bagi mematahkan sepenuhnya dogma penolakan DAP dalam kalangan akar umbi mereka dan segmen pengundi Melayu sehingga kini.

“Sebab itu bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengeluarkan kenyataan UMNO kena berterusan menerangkan alasan mereka menyertai Kerajaan Perpaduan secara lebih tuntas dan agresif kerana sentimen DAP akan selamanya dimainkan parti pembangkang sehingga PRU16,” luahnya.

Di sebalik usaha keras Anwar dan PH menguasai segmen pengundi Melayu tanpa terlalu bergantung kepada UMNO, Hisommudin masih tidak melihat PKR mahu pun Parti Amanah Negara (Amanah) - dua parti dianggap ‘Melayu centric’ dalam PH mempunyai kemampuan memecahkan dominasi PN di kerusi-kerusi majoriti Melayu sebagaimana UMNO.

Cemerlang

Jelasnya, ini kerana UMNO hakikatnya memiliki rekod pencapaian dan perkhidmatan cemerlang dalam menangani isu kaum Melayu sebelum ini, cuma mereka kini berdepan masalah krisis kepimpinan yang mengendurkan keyakinan pengundi segmen berkenaan.

“Justeru, mereka kena fikirkan kaedah terbaik meningkatkan peluang kebolehpindahan undi antara penyokong BN-PH pada PRN enam negeri kelak dengan UMNO lebih berdepan tugas berat meyakinkan pengundi mereka.

“Berdasarkan keputusan PRU15, sekiranya proses ini berjalan lancar, BN-PH mampu merampas 32 kerusi Parlimen dimenangi PN pada PRU16 sekiranya kadar pertambahan pengundi baharu berkadar terus dengan corak kecenderungan pengundi membuat pilihan undian lebih kurang sama.

“Setakat ini, kajian kami melihat perkara itu mungkin boleh berlaku di peringkat undian sokongan pengundi PH terhadap calon BN.

Cuma persoalan terbesar, adakah penyokong BN boleh mengundi calon PH terutama DAP pada pilihan raya akan datang?“Sekiranya tidak berlaku, senario itu akan untungkan PN.

Soal keyakinan siapa mampu menjadi juara pengundi Melayu Islam bagi menandingi PN, UMNO masih taruhan terbaik koalisi BN-PH.

Cuma isu kebolehpindahan undi antara penyokong BN-PH bakal menjadi penentu,” tegas Hisommuddin.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE