Gagal bayar RM 260,400, Mahkamah isytihar Noorjuma bankrap
Georgetown: Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan usahawan Norjuma Habib Mohamed, muflis, selepas gagal membayar RM260,400 kepada Fame Up Entertainment.
Penolong Pendaftar Siti Zulaikha Nordin @ Ghani merekodkan perintah kebankrapan itu selepas mendengar petisyen kreditor yang difailkan oleh syarikat berkenaan pada Oktober tahun lalu.
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar, peguam Muhammad Hassanuddin Roslan yang mewakili Fame Up Entertainment berkata, mahkamah tinggi hari ini mengisytiharkan Norjuma sebagai muflis.
Beliau berkata, Norjuma sudah dimaklumkan mengenai prosiding pada jam 9 pagi ini, namun tidak hadir dan mahkamah sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.
"Kami percaya Jabatan Insolvensi akan meneruskan proses kebankrapan ini," katanya.
"Secara asasnya, Fame Up Entertainment memfailkan petisyen terhadap Norjuma, dan hari ini sudah ditetapkan untuk pendengaran.
'Mahkamah memutuskan (Noorjuma) bankrap selepas dia gagal melunaskan bayaran untuk petisyen kreditor," katanya.
Hadir di mahkamah, pemilik Fame Up Entertainment, Zuriawati Zaidi, 44.
Pada Oktober tahun lepas, dilaporkan Fame Up Entertainment memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Norjuma.
Notis itu difailkan pada 15 Ogos tahun lalu yang memohon supaya Norjuma membayar RM260,400 kepada Fame Up Entertainment selepas diperintah berbuat demikian oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
@liputan7official