Orang hilang kuasa cuba tiup sentimen kaum, agama - PM
"Saya telah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk berwaspada kerana orang yang 'desperate' atau rasa tercabar akan menggunakan sentimen ini dan rakyat miskin diupah untuk menimbulkan kekacauan," katanya
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat usaha dalam kalangan orang yang kehilangan kuasa meniupkan sentimen kaum dan agama.
Tanpa menyebut nama individu tersebut, Anwar berkata, pihak berkuasa telah diarahkan bertindak sekiranya pihak berkenaan melampaui batas.
Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai dasar jelas ke arah Malaysia Madani, sebarang usaha yang cuba mengadu domba menghangatkan suhu kaum dan agama di negara ini tidak akan diizinkan.
"Saya telah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk berwaspada kerana orang yang 'desperate' atau rasa tercabar akan menggunakan sentimen ini dan rakyat miskin diupah untuk menimbulkan kekacauan," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pada Jumaat.
Tegas Anwar, kerajaan akan memastikan keamanan dan kedamaian semua kaum dipertahankan.
"Kita tidak akan bertolak ansur terhadap usaha mengganggu-gugat keamanan negara," katanya.
Jelas beliau, sekiranya timbul isu-isu berbangkit melibatkan perkara itu, ia perlu dileraikan dengan baik supaya jangan ada perseteruan atau prasangka.
"Ini termasuklah isu yang dibangkitkan baru-baru ini mengenai kunjungan ke masjid yang tidak seharusnya melibatkan kerajaan sama sekali.
Tambah Anwar, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tetap teguh mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan menjunjung Islam sebagai agama persekutuan serta memberi ruang dan kebebasan hak agama lain seperti dijamin dalam Perlembagaan.
"Jadi kenyataan tidak bertanggungjawab tidak boleh diguna pakai kerana kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa Malaysia ini harus aman, tertib dan dibangunkan oleh Melayu, Bumiputera, Cina, India serta suku-suku kaum lain," katanya.
@liputan7official