Anwar Ibrahim pemimpin yang disegani
Tindakan Perdana Menteri akan menambah keyakinan masyarakat
"Anwar di Dewan Rakyat menegaskan bahawa secara prinsipnya, ramai yang setuju dengan cadangannya"
SHAH ALAM - Cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diwujudkan badan bebas dalam mengambil tindakan dan menyiasat semua aduan, tuduhan dan salah laku membabitkan semua badan penguatkuasaan bakal meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, langkah itu juga akan melindungi integriti agensi penguatkuasaan daripada pegawai yang korup selain meningkatkan profesionalisme mereka.
"Kami menyokong penuh komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diwujudkan badan bebas berkenaan.
"Tindakan ini akan menambah keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya
Anwar pada Selasa Di Dewan Rakyat berkata, langkah itu diambil bagi memastikan badan penguatkuasaan yang terlibat dalam kes salah laku tidak menyiasat sendiri secara dalaman, mana-mana kes atau aduan diterima membabitkan pegawai atau anggota mereka.
Perdana Menteri berkata lagi, ini melibatkan badan penguatkuasaan seperti PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan SPRM.
Dalam pada itu, Thomas menggesa supaya kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang disyorkan sebelum ini.
"Suruhanjaya ini juga boleh diperluaskan untuk memasukkan sebarang aduan salah laku oleh SPRM atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain seperti imigresen, penjara, kastam, dan lain-lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyambut baik komitmen kerajaan untuk memisahkan kuasa dan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya seperti yang dinyatakan Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa.
Pengurus Kanan IDEAS, Aira Azhari berkata, ini kerana langkah pemisahan kuasa ini amat perlu dilaksanakan dengan kadar segera, bukan lagi melakukan kajian semata-mata.
"Langkah ini penting bagi memastikan konflik kepentingan dapat dihindari dan tiada lagi tuduhan "pendakwaan politik" oleh mana-mana pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang," katanya
Anwar di Dewan Rakyat menegaskan bahawa secara prinsipnya, ramai yang setuju dengan cadangan pemisahan kuasa itu, tetapi pada peringkat pelaksanaannya, masih diteliti kerana kesan implikasi kewangan tambahan adalah hampir RM300 juta.
Mengulas lanjut Aira berkata, langkah seterusnya buat kerajaan ialah membentangkan satu garis masa dan strategi untuk pemisahan kuasa ini dilaksanakan.
Jelasnya, libat urus yang menyeluruh juga perlu diadakan bersama masyarakat sivil seperti IDEAS, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Majlis Peguam yang telah banyak mengemukakan cadangan berhubung perkara ini.
"Implikasi kewangan juga bermaksud perlu ada libat urus bersama Kementerian Kewangan. Mungkin pelaksanaan boleh dibuat secara berperingkat supaya tidak menelan kos yang terlalu tinggi.
"Selain itu, perlu ada penglibatan daripada Jawatankuasa Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi juga," katanya.
@liputan7official