Ceramah tanpa tauliah, waran tangkap kepada Ustaz Wadi Annuar jika enggan kerjasama - JAIPs
JABATAN Agama Islam Perlis (JAIPs) akan meneruskan siasatan terhadap pendakwah selebriti, Wadi Annuar Ayub yang sepatutnya dijadualkan pada 7 April lalu.
Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim berkata demikian selepas menerima banyak pertanyaan daripada pihak media dan orang awam tentang sesi siasatan berkenaan.
Menurutnya, Wadi Annuar sebelum ini pernah memohon penangguhan beberapa kali tarikh sesi siasatan terhadapnya.
"Pihak JAIPs menegaskan siasatan terhadap penama akan tetap diteruskan pada 2 Mei 2023 dan tindakan undang-undang termasuk pelaksanaan waran tangkap akan diambil sekiranya arahan tidak dipatuhi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Wadi Annuar disiasat berhubung program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan Matin di Kampung Abi, Padang Machang, Perlis pada 30 Mac lalu.
Beliau didakwa menghadiri program tersebut tanpa mendapat tauliah Jabatan Mufti Perlis.
Oleh itu, JAIPs turut membuat laporan polis setelah penguat kuasanya dihalang penganjur dan orang ramai untuk mengambil keterangan pendakwah selebriti berkenaan. — Majoriti
@liputan7official