Rosmah disaman lagi, kes 43 barang kemas RM67.5 juta

Rosmah disaman lagi, kes 43 barang kemas RM67.5 juta



KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor disaman lagi oleh Global Royalty Trading SAL dari Beirut, Lebanon untuk mendapatkan semula 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta daripada isteri bekas Perdana Menteri ini.

Berdasarkan writ yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mac lalu, syarikat barang kemas selaku plaintif mengambil langkah itu melalui firma guaman, Tetuan David Gurupatham dan Koay dengan menamakan Rosmah, 72, selaku defendan tunggal.

Plaintif menuntut perintah mandatori bahawa barang kemas itu perlu dikembalikan dalam baik, 14 hari daripada tarikh saman ini difailkan.

Sekiranya barang kemas itu atau mana-mana bahagiannya tidak diperoleh semula, plaintif menuntut supaya Rosmah bertanggungjawab dengan membayar item tersebut.

“Kos barang kemas yang dinyatakan adalah berjumlah RM67,461,027.37 atau AS$14,567,270 pada kadar yang disediakan oleh Maybank pada 1 Mac lalu.

“Ia bersamaan dengan faedah pada kadar yang ditetapkan lapan peratus setahun dari tarikh pengisian hingga tarikh pemulihan,” katanya.

Syarikat itu turut menyatakan senarai barang kemas ini antaranya nilai tertinggi, ‘Diamond Cushion Ring 16.50 Carats FGB VVS2 GIA’ AS$925,000 dan ‘Diamond Radiant Earrings 15.73 CTS RAD FLY VS2 15.22 CTS RAD FLY VS1’ AS$141,570.

Menurut penyataan tuntutan difailkan firma guaman itu pada hari sama, plaintif mendakwa atas dasar persahabatan yang terjalin dengan defendan, syarikat itu akan menghantar barang kemas secara konsainan atas permintaan Rosmah untuk memilih dan memutuskan barang kemas yang ingin dibeli.

Defendan akan membeli barang kemas tersebut yang dipilihnya, dengan mengeluarkan bayaran sama ada sendiri atau melalui pihak ketiga.

Selepas itu, barang kemas yang tidak dipilih kembali kepada plaintif dengan semua urusan dilakukan melalui wakil plaintif atau jurujual.

Mengikut penyataan tuntutan difailkan firma guaman itu pada hari sama, Global Royalty mendakwa Rosmah menandatangani nota konsainan mengakui penerimaan barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018.

Plaintif memaklumkan membuat beberapa panggilan telefon kepada defendan dan memintanya untuk mengembalikan puluhan barang kemas itu.

“Selepas itu, defendan mengesahkan secara bertulis melalui surat yang diakui sendiri bahawa barang kemas yang dikonsain tiada dalam milikannya tetapi disita oleh pihak berkuasa Malaysia dan kini dalam jagaan mereka.

“Selepas itu, defendan mengesahkan secara bertulis melalui surat yang diakui sendiri bahawa barang kemas yang dikonsain tiada dalam milikannya tetapi disita oleh pihak berkuasa Malaysia dan kini dalam jagaan mereka.

“Diharap dapat menyelesaikan perkara ini secara baik dan mengekalkan persahabatan yang erat, plaintif sekali lagi meminta untuk defendan untuk memulangkan puluhan barang kemas itu.

“Meskipun beberapa kali plaintif meminta defendan memulangkan barang kemas, namun dia masih gagal, mengabai dan enggan memulangkannya,” kata writ saman itu.

Pada 10 Februari tahun sama, melalui serahan tangan, jurujual atau ejen Samer Halimeh dan Maen Shakhshir menyerahkan sebanyak 44 barang kemas kepada defendan, dan defendan ada mengesahkan dan mengakui penerimaan barang itu melalui surat.

Plaintif mendakwa, defendan juga mengesahkan secara bertulis bahawa barang itu sudah disita pihak berkuasa Malaysia.

Oleh itu, plaintif memohon deklarasi bahawa mereka adalah pemilik barang kemas itu menurut undang-undang.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty selaku plaintif menyaman Rosmah selaku defendan dan menuntutnya memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.

Pada 28 Ogos 2019, Kerajaan Malaysia mengesahkan melalui Afidavit Jawapan yang diikrarkan oleh Superintenden Polis G/15177 Foo Wei Min (yang difailkan dalam guaman sivil tersebut) bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas yang berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia.

Plaintif kemudiannya menarik balik tuntutan saman tersebut untuk memfailkan semula dan mencelah dalam prosiding pelucuthakan Kerajaan Malaysia terhadap OBYU Holdings Sdn Bhd, pemilik harta yang dimana 12,000 barang kemas tersebut telah disita oleh PDRM atas kesalahan di bawah AMLA.

Pada 11 Mac 2020, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussein membenarkan permohonan plaintif untuk memeriksa barang-barang kemas tersebut, yang telah disita oleh PDRM.














@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE