Lelaki mabuk tumbuk pekerja 7e mengaku tidak bersalah, diikat jamin RM 4,500

Lelaki mabuk tumbuk pekerja 7e mengaku tidak bersalah, diikat jamin RM 4,500

PETALING JAYA: Penyelia tapak pembinaan didakwa di Mahkamah Majistret Bangi atas tuduhan mencederakan seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam di Semenyih, minggu lalu, dalam kejadian tular di media sosial.

Tertuduh, U S Divagaran, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas lelaki berusia 18 tahun di sebuah kedai serbaneka di Ecohill Taipan, Semenyih, 5 pagi, 20 Jun lalu.


Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.


Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.


“Jika mahkamah benarkan jaminan, syarat tambahan tidak mengganggu mangsa hingga kes selesai.

“Mohon satu tarikh untuk serahan dokumen dan laporan perubatan,” katanya menurut Berita Harian.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, V Vickneswari memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung perbelanjaan dan keperluan ibu bapa yang sudah tua.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan laporan perubatan.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun didatangi lelaki berkenaan yang ingin membeli minuman.

Lelaki itu kemudian mengambil tiga payung dan keluar dari premis tanpa membuat bayaran sebelum berlaku pertengkaran serta menumbuk muka mangsa.

Dia turut mengambil swafoto bersama mangsa selepas mencederakannya sebelum beredar meninggalkan premis.











@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE