Remaja 13 tahun pandu kereta lawan arus bawa empat rakan ditahan

Remaja 13 tahun pandu kereta lawan arus bawa empat rakan ditahan

"Anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu namun pemandunya tidak mengendahkan arahan supaya berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri."

KEMAMAN - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis kerana memandu kereta secara melulu dan tanpa lesen dengan membawa empat penumpang di Taman Banggol Indah, Chukai di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, remaja terbabit ditahan kira-kira jam 5.15 petang setelah dikesan memandu kenderaan secara melawan arus.

Menurutnya, tindakan itu disedari anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman ketika menjalankan Op Lancar/Op Samseng Jalanan di sekitar kawasan itu pada jam 4 petang.

"Polis mengesan suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga berwarna putih datang dari arah bertentangan secara melawan arus ketika melalui Jalan Bawah Jambatan Geliga (Waterfront).

"Anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu namun pemandunya tidak mengendahkan arahan supaya berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri.

"Polis terus mengekori dan mengarahkan supaya kereta itu berhenti sebanyak tiga kali namun masih tidak diendahkan," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis malam.

Menurut Hanyan, polis mengekori suspek sejauh 10 kilometer (km) sebelum remaja berkenaan memberhentikan kenderaan di sebuah kedai dobi layan diri dan bertindak melarikan diri.

"Suspek bersama empat rakan berusia lingkungan 13 hingga 16 tahun berjaya ditahan dan dibawa ke BSPT Kemaman untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.


Hanya berkata, pihak polis akan mereman suspek pada Jumaat untuk diambil keterangan manakala penumpang lain telah dibebaskan.

Jelas beliau, pemilik kenderaan iaitu ibu suspek juga akan dipanggil untuk diambil keterangan dan berdepan saman kerana membenarkan orang yang tiada lesen memandu kenderaan.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, polis mengesan beberapa kesalahan lain dilakukan suspek menyebabkan kereta itu dipandu secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Suspek memandu kereta secara zigzag di jalan persekutuan bermula dari kilometer 155 hingga kilometer 157, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan tidak berhenti di lampu isyarat Mak Lagam.

"Kereta itu juga telah memotong secara bahaya dan potong Q (potong barisan) di lampu isyarat Stesen Bas Geliga," katanya.





@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE