Bayi 19 bulan ditemui maut,
Bapa tergelincir dipercayai punca bayi hanyut
BAYI DITEMUKAN LEMAS SELEPAS DIHANYUTKAN ARUS SG. KETIL.
BALING: Seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan ditemukan lemas selepas dihanyut ke dalam Sungai Ketil, Lubok Pedati, di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Adryan Mikail Mohd Afiq.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.04 tengah hari.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Jusoh Abdul Wahab tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki hanyut ke dalam sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut meminta maklumat dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
"Operasi turut dibantu malim gunung dan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Rekreasi Luar dan orang awam," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohd Jamil berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 3.3 kilometer (km) dari tempat dilaporkan hilang.
Beliau berkata, mangsa ditemui oleh malim gunung dari pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan oleh pasukan bomba.
"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya lagi.
Bayi terbabit dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika bersama dengan ayahnya sewaktu menjalankan aktiviti berkayak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shamsudin Mamat berkata, mayat bayi itu ditemui penduduk kampung di Sungai Limau.
“Ketika ditemui mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat telah di hantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat.
Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - ASTRO AWANI
@liputan7official