Nga Kor Ming nasihatkan Abdul Hadi supaya bertaubat kerana Islam melarang fitnah

Nga Kor Ming nasihatkan Abdul Hadi supaya bertaubat kerana Islam melarang fitnah

"Saya rasa Haji Hadi (Abdul Hadi) ini kadang-kadang beliau perlulah bertaubat kerana fitnah adalah dilarang oleh agama Islam." kata Kor Ming

BANGI: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menasihatkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk bertaubat dan berhenti menyebarkan fitnah kepada DAP, khususnya dengan menggunakan retorik kaum dan agama.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, serangan berterusan Abdul Hadi yang berbentuk fitnah tidak akan berjaya memburuk dan menjatuhkan parti itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.


Sehubungan itu, beliau berharap dan berdoa supaya Presiden PAS itu akan 'kembali ke pangkal jalan' kerana tindakan fitnah bukan sesuatu yang dibenarkan dalam Islam.

"Saya rasa Haji Hadi (Abdul Hadi) ini kadang-kadang beliau perlulah bertaubat kerana fitnah adalah dilarang oleh agama Islam.

"Fitnah demi fitnah tidak akan membantu. Oleh itu, saya berharap dan berdoa supaya beliau kembali ke pangkal jalan," katanya pada sidang media Program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta kenyataan Abdul Hadi Ahad lalu, di mana Ahli Parlimen Marang itu sekali lagi menyerang DAP menggunakan retorik kaum dan agama, dengan mendakwa parti itu memiliki agenda perkauman Cina serta menyambung usaha penghapusan ketuanan Melayu serta Bumiputera yang dirancang penjajah British.

Presiden PAS itu juga mendakwa DAP menggunakan jurubicara dalam kalangan orang Melayu untuk mencapai agenda parti itu, manakala parti lain yang bekerjasama dengan DAP hanya menang dalam pilihan raya kerana menumpang pengaruhnya.

Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sehari sebelum itu, yang mengingatkan semua pihak tidak memainkan isu sensitif, khususnya 3R (agama, bangsa dan raja) ketika berkempen untuk PRN yang akan berlangsung bulan depan.

Susulan itu, polis kelmarin memaklumkan sedang menyiasat Abdul Hadi berikutan kenyataannya mengenai DAP yang disentuh dalam kenyataan Minda Presiden PAS, dengan hasil siasatan awal polis mendapati ia mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman dan boleh mencetus kegusaran awam.

Pada masa sama, Bukit Aman turut mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya yang menyentuh isu 3R.

Diminta mengulas mengenai siasatan terhadap Guan Eng, Kor Ming berkata DAP menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada polis dan yakin Ahli Parlimen Bagan itu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

"Saya rasa tak jadi masalah pun. Guan Eng sudah keluarkan kenyataan menjelaskan kenyatannya telah disalah terjemah. Memang ia tafsiran yang salah.

"Media China Press juga sudah mengeluarkan satu laporan memaklumkan Guan Eng tak kata macam itu, dia sudah di salah terjemah oleh media dalam talian tertentu," katanya.

Minggu lalu, portal MalaysiaNow yang memetik China Press melaporkan, Guan Eng didakwa memberi amaran 'gelombang hijau' yang merujuk pada Perikatan Nasional (PN), perlu disekat daripada bertapak di Pulau Pinang kerana ia berisiko mengakibatkan 'tokong Buddha atau Cina' dirobohkan.

Namun, Guan Eng menafikan laporan itu dan mendakwa ucapannya diputar belit, dan beliau ucapannya itu merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah," katanya.









@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE