Tindakan tidak menghormati, merosakkan kitab suci al-Quran adalah satu jenayah di Rusia, tegas Vladimir Putin.
Presiden Rusia itu menjelaskan, meskipun pencabulan kitab itu tidak dianggap jenayah di beberapa negara, namun tindakan berkenaan boleh dihukum di bawah undang-undang negara itu.
"Kitab ini suci buat umat Islam dan seharusnya suci buat semua. Kita tahu negara lain mempunyai pendapat berbeza, mereka tidak menghormati perasaan agamawan, selain mengganggap ia bukan satu jenayah.
"Di negara kita ia satu jenayah dan boleh dihukum di bawah konstitusi dan Artikel 282 Kod Jenayah," katanya ketika mengadakan lawatan ke Masjid Juma, Derbent, di Republik Autonomi Dagestan sempena Hari Raya Aidiladha.
Kehadiran Putin ke masjid bersejarah di Derbent itu disambut wakil-wakil komuniti Islam di Dagestan selain dihadiahkan kitab suci Al-Quran.
Kenyataan Putin itu dibuat susulan tindakan seorang ekstremis membakar naskhah kitab suci al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden pada Rabu semasa sambutan Hari Raya Aidiladha.
Seorang lelaki Salwan Momika, ditahan oleh polis Sweden kerana didakwa "memprovokasi kumpulan etnik" selepas melakukan tindakan itu.
Katanya, tindakan yang dilakukannya itu sebagai menekankan kepentingan kebebasan bersuara.
@liputan7official