Hantar anak ke taska atau berhenti kerja?
SEJAK kebelakangan ini banyak rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) didedahkan oleh ibu bapa di media sosial yang memaparkan anak mereka didera ketika berada di pusat jagaan.
Perkara seperti ini sudah pasti membimbangkan semua ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mereka ke pusat jagaan kerana perlu keluar bekerja
Sebagai seorang ibu, tidak dinafikan saya sendiri menjadi dilema dan amat risau sekiranya perkara seperti itu berlaku terhadap anak ketika berada di bawah jagaan pengasuh.
Rentetan masalah ini juga, ramai kaum ibu yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana mahu menjaga anak sendiri di rumah.
Bagi yang tetap bekerja dan bertawakal hantar anak ke taska atau pengasuh, bukanlah kami ini tidak risaukan keselamatan anak.
Namun, bukan semua pasangan mampu menyara keluarga sekiranya hanya seorang sahaja yang bekerja.
Menurut Pakar Pediatrik, Dr. Mohd. Zaqrul Razmal Mohd. Podzi berkata, bagi mengelak anak kecil kita menjadi mangsa dera, ibu bapa yang menghantar anak mereka ke taska atau pengasuh perlulah lebih peka kepada sebarang perubahan yang ditunjukkan oleh anak mereka.
Katanya, terdapat beberapa perubahan yang boleh ibu bapa kenal pasti dari segi emosi dan fizikal.
“Simptom yang pertama adalah setiap pagi hendak hantar anak ke pusat jagaan, mereka menangis walaupun sebenarnya dia seorang yang ceria dan mahu berkawan. Menangis seperti trauma, sesiapa pegang pun dia tak nak.
“Selain itu, ibu bapa perhatikan tanda-tanda seperti lebam, bekas yang kita syak kesan cubitan atau merah-merah, itu semua perlu peka,” katanya.
Dr. Mohd. Zaqrul Razmal berkata, ramai penjaga di taska atau pusat jugaan kini terdiri daripada golongan muda yang mungkin tiada pengalaman ataupun pengetahuan bagaimana untuk menjaga anak kecil.
“Boleh juga terjadi apabila pengusaha taska itu sendiri bertindak kasar dengan anak-anak asuhan, jadi kekasaran itu seperti sudah menjadi normal bagi mereka.
“Sekiranya kekasaran itu menjadi luar batasan, itu yang menyebabkan anak takut hendak ke taska. Perasaan takut ini adalah tanda yang jelas dan ia berbeza dengan anak yang mempunyai stranger anxiety iaitu takut dengan individu yang mereka tidak kenali,” jelasnya.
Selain itu, sebelum menghantar anak untuk dijaga orang lain, ibu bapa boleh lakukan beberapa perkara untuk memastikan keselamatan anak mereka.
“Ibu bapa boleh mengadakan pemeriksaan mengejut di pusat jagaan ataupun rumah asuhan bagi melihat cara mereka menjaga anak-anak asuhan.
“Bagi yang menghantar anak ke taska pula, pastikan ibu bapa boleh dapatkan akses kepada rakaman CCTV sekiranya diperlukan. Akses tersebut bukanlah untuk kita pantau sentiasa tetapi, sekiranya ada situasi yang kita mahu lihat rakaman, pihak taska benarkan.
“Bagi anak yang dihantar ke rumah pengasuh yang tiada CCTV, perubahan emosi dan fizikal amat penting sekali. Sekiranya anak nampak ketakutan ataupun badan anak bertanda luka atau sebagainya, pastikan kita tanya pada penjaganya apakah punca kesan itu,” ujarnya.
Justeru, sebagai ibu bapa sudah pasti kita lebih mengenali anak kita. Sekiranya merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena, segeralah bertindak.
@liputan7official