Rezeki ikan buntal, Zahri menang tempat pertama bawa balik wang tunai RM105,000

Rezeki ikan buntal, Zahri menang tempat pertama bawa balik wang tunai RM105,000

Setiu: Seekor ikan buntal boleh dianggap berharga RM105,000 apabila ia menjadi ikan terberat pada Pertandingan Memancing sempena Hari Malaysia di Pantai Rhu 10, Penarik, di sini, hari ini.

Ikan buntal seberat 5.2 kilogram (kg) itu dipancing Zahri Mamat, 58, dari Kampung Felda Cherul sekali gus membawa pulang hadiah pertama iaitu wang tunai RM105,000.

Tempat kedua pula dimenangi Mohd Nabil Mamat Yunus, 40, dari Pasir Putih, Kelantan yang turut menaikkan ikan buntal seberat 3.6 kg dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Zahri berkata, dia seperti bermimpi apabila memenangi tempat pertama dalam pertandingan yang menawarkan hadiah paling besar itu.


"Saya terkejut apabila diberitahu ikan buntal yang dipancing dinobatkan ikan terberat.

"Sebelum ini jika dapat ikan buntal ia akan dilepaskan semula kerana tidak bernilai tetapi dalam pertandingan ia sangat berharga," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia menggunakan umpan udang untuk memancing ikan todak tetapi umpan itu dimakan ikan buntal.

"Pertama kali umpan dimakan, perambut putus dipercayai dimakan ikan buntal menyebabkan saya terus menukar perambut khas untuk memancing ikan buntal.

"Strategi saya tepat apabila tidak lama selepas itu ikan buntal memakan umpan untuk kali kedua seterusnya berjaya dinaikkan," katanya.

Menurutnya, dia tidak mempunyai perancangan khusus untuk menggunakan wang kemenangannya itu.

"Pada 2010, saya pernah menang tempat pertama pertandingan memancing yang menawarkan hadiah RM22,000.

"Selepas 13 tahun saya menang semula tetapi dengan hadiah yang lebih besar, duit itu akan menjadi simpanan waktu tua selain belanja keluarga dan kawan-kawan," katanya.

Pada pertandingan itu, lebih 2,000 peserta yang mengambil bahagian bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.





@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE