Tiada 'road tax', insurans punca motosikal penghantar makanan disita - JPJ
"Kami akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain," - JPJ
SEREMBAN - Tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menyita motosikal milik seorang penghantar makanan dalam satu operasi pada Selasa disebabkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat dan tiada insurans.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sitaan dilakukan bertujuan menjaga keselamatan penunggang tersebut dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.
Menurutnya, Bahagian Penguatkuasaan JPJ Negeri Sembilan telah menerima maklumat tular di media sosial berhubung perkara itu, yang mana ia berlaku ketika Operasi Statik JPJ di Jalan Persiaran Negeri, Nilai pada jam 12.38 tengah hari.
"Operasi itu dilakukan bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya dan sepanjang penguatkuasaan tersebut, pelbagai kesalahan telah dikesan serta diambil tindakan.
"Ia termasuk motosikal ditunggang pekerja Foodpanda itu yang melakukan kesalahan menunggang motosikal semasa LKM tamat tempoh dan tiada insurans," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum itu, tular sebuah video berdurasi 18 saat memaparkan seorang penghantar makanan berjalan kaki hingga mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial apabila motosikalnya disita pihak berkuasa.
Hantaran video dengan kapsyen ' hina sangat ke kerja grab/foodpanda? Kesian abang tu nak cari rezeki, semoga abang dipermudahkan segala urusan' mendapat lebih tiga juta tontonan, menunjukkan lelaki itu memakai topi keledar seolah-olah pasrah apabila tidak dapat meneruskan mencari rezeki.
Dalam pada itu, Hanif Yusabra turut menegaskan JPJ sentiasa memandang serius terhadap kesalahan-kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh mereka yang sentiasa mengabaikan undang-undang atau peraturan yang ditetapkan.
"Kami akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya.
@liputan7official